Cubaan seludup minyak petrol gagal

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Keanggotaan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki warga tempatan untuk menyeludup keluar lapan tong penuh minyak petrol di kawasan laut Pulau Chermin, kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9:32 pagi itu, dua anggota peronda Polis Marin yang bertugas telah mengesan lalu menahan sebuah perahu bagi tujuan pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan awal ke atas perahu berkenaan, didapati terdapat minyak petrol RON085 dalam jumlah yang banyak.

Menurut suspek yang berusia 30 tahun, tujuannya adalah untuk menghantar minyak petrol kepada sepupunya yang berada di laut pada masa itu. Walau bagaimanapun, peronda bertugas merasa sangsi dan curiga akan sikap dan tingkah laku suspek serta alasan yang tidak munasabah.

Suspek dan perahu yang digunakan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin untuk siasatan awal dan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut.

Ketika negara menghadapi pandemik wabak COVID-19 ini, PPDB menegaskan akan sentiasa meningkatkan kesiagaan dan keupayaan dalam mempelbagaikan operasi bagi memastikan sempadan negara selamat di dalam usaha menyekat jenayah rentas sempadan.

Antara barangan yang dirampas oleh pihak berkuasa semasa serbuan tersebut.- Gambar serahan PPDB