Cubaan seludup pedang samurai antik dipatahkan

GENEVA, 31 MEI – Pihak berkuasa kastam Swiss berkata hari ini mereka telah menemukan sebilah pedang samurai antik Jepun berusia hampir 700 tahun semasa pemeriksaan kenderaan rutin, selepas ia diseludup masuk ke negara itu.

Pejabat Persekutuan Kastam dan Keselamatan Sempadan berkata dalam satu kenyataan bahawa pedang Katana, bertarikh 1353 dan bernilai AS$700,000, telah ditemui dalam sebuah kereta dengan plat pendaftaran Swiss semasa satu pemeriksaan rutin berhampiran Zurich.

Beberapa objek lain juga ditemui dalam kereta itu, termasuk buku antik, kontrak dan invois jualan.

Pemandu, ditemani oleh anak perempuannya, belum mendaftar objek berkenaan di lintasan sempadan Thayngen dari Jerman, menurut kenyataan.

Pihak berkuasa kastam telah melancarkan siasatan jenayah dan berkata pemandu itu bukan pemilik objek yang dirampas, tetapi telah mengambil pedang tersebut di Stuttgart atas permin-taan majikannya.

Pakar kastam berkata import pedang antik itu harus dianggap satu pencabulan Akta Pemindahan Aset Kebudayaan Switzerland (KGTG).

Undang-undang tersebut bertujuan melindungi warisan kebudayaan manusia dan menghalang kecurian, rampasan serta import dan eksport harta kebudayaan.

Susulan siasatan, pihak berkuasa telah mengenakan denda lebih daripada AS$6,250 ke atas majikan pemandu itu kerana melanggar KGTG. – AFP