Cubaan seludup rokok digagalkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Sebanyak 280 karton rokok pelbagai jenama dirampas selepas cubaan menyeludup barangan tegahan itu digagalkan di kawasan perairan Sungai Riong, Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara kelmarin.

Cubaan dipatahkan oleh Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) ketika menjalankan rondaan di kawasan perairan itu dan mendapati sebuah perahu mencurigakan dalam perjalanan menghala masuk ke Sungai Putat dari Sungai Riong.

Pengemudi perahu yang menyedari kehadiran polis, segera berpatah balik untuk melarikan diri, namun dikejar pihak polis yang kemudiannya menemukan perahu mencurigakan itu terdampar dan ditinggalkan di kawasan persimpangan tiga Sungai Riong tanpa pemandu dan penumpang.

Pemeriksaan ke atas perahu berkenaan telah menemukan barangan tegahan iaitu sebanyak 280 karton rokok pelbagai jenama.

Kesemua barangan tegahan tersebut telah dibawa ke Polis Marin dan siasatan kes serta tindakan lanjut diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

PDB akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan seterusnya membanteras kegiatan mahupun penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.

Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.