Cubaan tumbangkan tugu di luar Rumah Putih

WASHINGTON, 23 JUN – Sekumpulan penunjuk perasaan cuba menjatuhkan tugu bekas presiden Amerika Syarikat (AS) berhampiran Rumah Putih semalam, ketika polis bertindak balas dengan menyembur lada untuk menyuraikan tunjuk perasaan yang meletus di sini.

Beratus penunjuk perasaan dihalang oleh sekurang-kurangnya 100 anggota pasukan keselamatan selepas mereka melemparkan tali di sekitar tugu Andrew Jackson, Presiden AS ketujuh, di Taman Lafayette.

Perkataan ‘pembunuh’ telah disembur dengan cat di pangkal tiang batu, menurut seorang jurugambar AFP di tempat kejadian.

Gelombang tunjuk perasaan menuntut keadilan berkaitan antiperkauman berlaku di beberapa negeri di AS sejak 25 Mei lalu, berikutan insiden kematian lelaki kulit hitam, George Floyd, 46, ketika ditahan anggota polis di Minneapolis, Minnesota.

“Kami mempunyai tali, rantai, kapi untuk menarik, dan kami akan memasangnya dan merobohkan patung tersebut,” beritahu pembantah berusia 20 tahun kepada AFP, yang enggan namanya disiarkan.

“Polis menyerang kami. Mereka meletakkan undang-undang di tangan mereka,” kata seorang lelaki kulit hitam, Raymond Spaine, 52.

Trump mengarahkan pemimpin tempatan supaya berdepan penunjuk perasaan dengan kekerasan polis, mengatakan kepada pihak berkuasa untuk menguasai jalan-jalan dan tidak menyesal dengan menempatkan pasukan keselamatan.

Malah Trump juga mengancam akan menggunakan Undang-Undang Pemberontakan yang jarang digunakan untuk mengerahkan angkatan bersenjata di AS. – AFP

Tali dan rantai masih tergantung pada patung bekas Presiden AS Jeneral Andrew Jackson selepas pembantah cuba merobohnya di taman Lafayette di depan Rumah Putih, Washington pada 22 Jun 2020. – AFP