Cuckoo perkenal produk baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Untuk memulakan tahun 2019, Cuckoo International (B) Sdn Bhd, hari ini telah memperkenalkan satu produk perkakas rumah yang baharu iaitu Cuckoo Inductrio Hybrid Induction Hob.

Majlis pelancaran produk yang diadakan di Avenue 41, Kiarong itu telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Cuckoo International (B) Sdn Bhd, Wong Kim Guan.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Pemasaran, Wong Hui Ting di mana beliau menjelaskan bahawa hob induksi hibrid tersebut direka dengan teliti sebagai dapur induksi yang moden, anggun dan pintar yang bertujuan untuk memberikan kemudahan dan meningkatkan pengalaman pengguna dalam memasak.

Menurutnya, Inductrio merupakan dapur induksi hibrid canggih dengan dua dapur induksi pintar dan satu dapur Hi-Light. Dapur induksi mempunyai elektromagnet yang berkuasa dan bergelombang tinggi yang menghasilkan medan magnet yang secara langsung memanaskan kuali dan bukan permukaan dapur, menjadikan permukaan dapur induksi selamat untuk disentuh walaupun ia dihidupkan.

Sementara itu, bahagian atas dapur mengandungi elemen bersalut logam yang memanaskan secara elektronik ke suhu yang dikehendaki di bawah kaca ‘tempered’. Di sebalik estetikanya yang elegan, Inductrio dibina dan dilengkapi dengan pelbagai ciri teknologi, seperti sensor sentuh langsung dipaten oleh Cuckoo yang direka untuk mengesan suhu alat masak yang digunakan melalui hubungan langsung, yang membolehkan Inductrio untuk memberikan haba dengan tepat dan dengan serta-merta.

Wong Kim Guan (kiri) ketika melancarkan produk terbaharu mereka.
Sesi demonstrasi memasak menggunakan Cuckoo Inductrio Hybrid Induction Hob.

Dapur tersebut juga mempunyai Haba-tinggi (high-heat) dan algoritma pintar yang dipaten Cuckoo, di mana algoritma tersebut adalah ciri pelarasan automatik pintar yang membolehkan Inductrio memberikan liputan haba penuh semasa memasak. Pada masa yang sama, ia juga secara automatik dapat melaraskan haba, masa, tekanan, dan penggunaan kuasa untuk menghasilkan rasa yang lebih baik.

Melalui teknologi kawalan pemanasan yang unik seperti Mod IH Ultra-High Temperature dan Fungsi Induksi Booster, Inductrio membolehkan para pengguna memasak hidangan lazat dengan lebih cepat sambil menjimatkan tenaga yang digunakan.

Di samping itu, hob induksi hibrid mempunyai beberapa teknologi penjimatan tenaga untuk meminimumkan penggunaan elektrik dan pada masa yang sama memastikan keselamatan terjamin.

Inductrio juga mempunyai pelbagai ciri keselamatan yang lain, seperti fungsi Touch Button Malfunction Heating Prevention, sisa peringatan amaran haba, fungsi kunci punat, fungsi container sensing, fungsi pencegahan peningkatan suhu abnormal, fungsi Auto-Off dan petunjuk kod ralat.

Bagi memastikan lnductrio menyediakan kemudahan dan kesenangan memasak, lnductrio telah menggunakan One Touch Direct Control dan navigasi suara bagi membolehkan pengguna menyesuaikan dan mengawal pelbagai fungsi secara bebas dengan sentuhan mudah.

Selain itu, permukaannya disalut dengan Schott Ceran Masterpiece Ceramic dari Jerman yang dibuat dengan jubin porselin, menjadikan permukaannya tahan daripada noda (stains) dan membuatkan pembersihan begitu mudah.

Majlis itu juga menyaksikan sesi demonstrasi memasak bagi memperlihatkan kehebatan dan ciri-ciri yang terdapat pada Cuckoo Inductrio Hybrid Induction Hob. Inductrio juga akan dibukakan ke pasaran Brunei semasa Pesta Pengguna ke-22 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas nanti.