Cucu Lee Kuan Yew didenda AS$11,000

SINGAPURA, 29 JULAI – Cucu lelaki kepada pengasas Singapura, Lee Kuan Yew didenda Sg$15,000 (AS$11,000) selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik badan kehakiman negara itu menerusi Facebook (FB) pada 2017.

Hakim Kannan Ramesh turut mengarahkan tertuduh, Li Shengwu yang juga ahli akademik di Universiti Harvard di Amerika Syarikat itu dipenjara seminggu, jika gagal membayar denda, walaupun Li pada masa ini menetap di AS.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu yang juga anak saudara Perdana Menteri, Lee Hsien Loong didakwa menyifatkan kerajaan Singapura ‘cenderung membuat tindakan guaman dan sistem mahkamahnya mudah dipengaruhi’.

Shengwu adalah anak lelaki kepada eksekutif perniagaan, Lee Hsien Yang, yang tidak sependapat dengan abangnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berhubung harta peninggalan ayah mereka.

Li pada awalnya ikut serta dalam prosiding itu menerusi peguamnya, namun kemudian menarik diri.

“Saya tidak setuju dengan keputusan itu,” kata Li dalam laman FB hari ini selepas mengetahui keputusan mahkamah. – AFP