Cukai: Dua syarikat didenda hampir $10,000

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JAN – Dua buah syarikat dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana gagal mengemukakan butiran pulangan cukai pendapatan tahunan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 52(1) Akta Cukai Pendapatan (Penggal 35).

Denda $4,000 ke atas Nashridh Enterprise Sdn Bhd diputuskan Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof.

Keputusan adalah selepas mendengar wakil syarikat mengaku bersalah atas tuduhan gagal mengemukakan pulangan cukai pendapatan tahunannya yang berakhir pada 31 Disember 2013, 2014, 2015 dan 2016.

Manakala Serikandi Group Sdn Bhd dikenakan denda $5,000 atas tuduhan sama bagi pulangan cukai pendapatan tahunannya yang berakhir pada 31 Disember 2012, 2013, 2014, 2015 dan 2016.

Pendakwaan terhadap kedua-dua syarikat dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman.