Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cukai gula inisiatif terbaik untuk kesihatan

    PERUBAHAN pada kadar cukai di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini adalah inisiatif yang terbaik untuk generasi sekarang dan yang akan datang. Dalam usaha untuk menangani obesiti, minuman bergula (mengandungi 6 gram atau lebih setiap 100 ml), konfeksioneri dan coklat akan dikenakan ‘cukai gula.’

    Manakala, produk-produk yang lebih sihat tidak akan dikenakan cukai tersebut seperti air botol, susu dan minuman rendah gula. Cukai ini harus dilihat sebagai ‘sedikit dorongan’ untuk pengguna cenderung ke arah pilihan yang lebih sihat yang memberikan manfaat kepada diri dan keluarga mereka.

    Mengapa mengambil ‘kalori kosong’?

    Gula mengandungi banyak kalori tetapi tidak memberikan nilai khasiat yang diperlukan, jadi adalah logik bahawa memakan terlalu banyak gula akan menyebabkan badan anda menyimpan kalori yang berlebihan. Berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

    Makanan dan minuman bergula juga menyebabkan kerosakan gigi, terutamanya jika anda memakannya di antara waktu makan.

    Semakin lama makanan bergula melekat di gigi, semakin banyaklah kerosakkan yang boleh berlaku.

    Gula mengandungi banyak kalori tetapi tidak memberikan nilai khasiat yang diperlukan.
    Gula mengandungi banyak kalori tetapi tidak memberikan nilai khasiat yang diperlukan.

    Kebanyakan gula berlebihan dalam diet kita datang daripada gula tambahan dalam makanan atau minuman, atau didapati secara semula jadi dalam madu, sirap dan jus buah-buahan.

    Banyak makanan dan minuman yang mengandungi gula tambahan ini adalah tinggi dengan tenaga (kalori) dan selalunya mempunyai beberapa nutrien yang lain. Orang dewasa dinasihatkan supaya tidak memakan lebih dari 30g gula tambahan sehari, iaitu kira-kira sebanyak tujuh kiub gula. (Untuk rujukan satu tin minuman bergas mengandungi bersamaan dengan 9 kiub gula).

    Kanak-kanak harus mengambil kurang daripada ini. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, di Negara Brunei Darussalam, secara purata kita mengambil lebih daripada dua kali ganda jumlah ini (lebih daripada 60g) setiap hari.

    Punca terbesar datang daripada minuman bergula (ini termasuk minuman bergas, minuman panas segera tiga-dalam-satu, Milo dan jus buah-buahan) yang kira-kira 40g dari pengambilan gula kita.

    Rakyat Brunei makan dan minum terlalu banyak gula

    Apa yang membimbangkan ialah satu perempat daripada rakyat Brunei (dan lebih membimbangkan 40 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 9) mengambil minuman tin/bergas setiap hari, dan satu perempat juga meminum minuman panas segera setiap hari.

    Walaupun ia mungkin memberikan kita keenakkan segera, tetapi dalam jangka masa panjang, memakan terlalu banyak gula, adalah pembunuh senyap.

    Cukai Gula adalah Berkesan!

    Negara Brunei Darussalam bukanlah negara pertama yang memperkenalkan cukai bagi mengurangkan penggunaan gula. Dua tahun yang lalu, Mexico telah mengenakan cukai ke atas gula dan pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia telah memerhatikan perkembangan kemajuan cukai di Mexico dengan lebih dekat.

    Analisis mengenai pembelian minuman bergula di Mexico mendapati dalam tempoh dua tahun, penggunaan minuman bergula menurun sebanyak 7.6 peratus.

    Di California, Amerika Syarikat, cukai sebanyak USD$0.33 sen bagi setiap 1 liter (serupa dengan cukai yang diperkenalkan di Negara Brunei Darussalam sebanyak BND$0.40), juga menunjukkan hasil yang signifikan.

    Memakan terlalu banyak gula akan menyebabkan badan anda menyimpan kalori yang berlebihan.
    Memakan terlalu banyak gula akan menyebabkan badan anda menyimpan kalori yang berlebihan.
    Berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung dan kencing manis.
    Berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

    Sejak cukai tersebut diperkenalkan, penggunaan minuman bergula di California, telah menurun kepada 21 peratus dan penggunaan air pula meningkat kepada 63 peratus.

    Manakala bandar-bandar lain di Amerika Syarikat melaporkan penggunaan minuman bergula meningkat sebanyak 4 peratus dan penggunaan air hanya meningkat sebanyak 19 peratus pada masa itu.

    Apa yang perlu dilakukan seterusnya

    Bukti-bukti mengenai kesan bahaya gula dan kemungkinan makanan serta minuman bergula menjadi komoditi yang lebih mahal, adalah jelas dan nyata.

    Mengurangkan pengambilan gula adalah yang terbaik untuk kesihatan dan juga dompet kita! Berikut adalah beberapa tips untuk mengurangkan pengambilan gula, disamping menjimatkan wang kita:

    * Pilih air kosong, susu rendah lemak atau minuman yang tiada gula tambahan daripada minuman bergula dan bergas. Ingat, jus buah-buahan tanpa gula juga adalah manis. Gantikan jus buah dengan memakan buah yang sebenar.

    * Elakkan minuman panas segera tiga-dalam-satu. Keburukkannya pada anda adalah sama seperti meminum satu tin Coke. Jika anda mengambil gula dalam minuman panas, kurangkan pengambilan gula secara beransur-ansur sehingga anda boleh menghidarinya sepenuhnya.

    * Semak label kandungan khasiat untuk membantu anda memilih makanan yang kurang mengandungi tambahan gula atau pilih versi yang mengandungi kurang gula.

    * Cuba kurangkan separuh kandungan gula dalam resipi anda. Ia berkesan bagi semua termasuklah kuih-muih tradisional!

    * Hadkan pengambilan kek, konfeksioneri, coklat dan kuih tidak lebih dari yang biasanya dalam sekali seminggu. Gantikannya dengan pengambilan buah-buahan.

    * Apabila anda makan di luar dan memesan makanan atau minuman kepada pelayan, sentiasa beritahu “kurang manis”.

    Ini akan menjadikan makanan dan minuman anda menjadi lebih sihat dan akan berasa lebih enak. – Rencana disumbangkan oleh Kementerian Kesihatan

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda