Cukai tidak halang SME Bank sokong pembangunan usahawan

JOHOR BAHRU, 7 NOV – Kutipan Cukai Makmur yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2022 bukan menjadi satu isu yang boleh menghalang SME Bank untuk terus menyokong pembangunan usahawan pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulannya Mohammad Hardee Ibrahim berkata kutipan cukai tersebut juga dilihat tidak akan menjejaskan perolehan bank berkenaan.

“Bagi kita tak. Bagi kita, sekiranya cukai makmur itu untuk keuntungan bagi ambang tertentu. Bagi kita, kita tidak bimbang.

“Malahan, kalau kena bayar cukai pun…sebagai bank yang dimiliki kerajaan, memang kita bayar dividen pada kerajaan pun. Jadi itu tak jadi isu atau kekangan untuk kita terus sokong usahawan,” katanya pada sidang media selepas Program Jom XCESS SME Bank Wilayah Selatan, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar.

Mohammad Hardee berkata demikian ketika ditanya sama ada kutipan Cukai Makmur yang dikenakan sekali sahaja itu pada tahun depan akan menjejaskan perolehan bank berkenaan serta keupayaannya untuk menawarkan lebih banyak pembiayaan pada masa hadapan.

Sejak penubuhannya, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM38.0 bilion kepada 20,543 orang yang terlibat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). – Bernama