Cukup ucapan selamat Hari Jadi – Mahathir

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Tidak perlu hadiah, cuma ucapan Selamat Hari Jadi sudah mencukupi.

Itulah permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada rakyat Malaysia sempena sambutan hari jadinya ke-93 hari ini.

“Mesej atau kenyataan hari jadi sahaja kepada saya. Itulah yang saya hargai sepenuhnya,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama Radio pagi ini.

Negarawan yang menjadi perdana menteri Malaysia ketujuh selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas turut berseloroh berkata beliau adalah pelupa dan tidak pernah mengingati hari lahirnya sendiri.

Namun isteri tercinta Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali merupakan insan yang selalu akan mengingati hari istimewa beliau itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun ke-93 hari ini. Beliau ditemui ketika menyampaikan perutusan pada Program Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kelmarin. – Bernama

“Saya ni pelupa, hari jadi saya pun saya tak ingat. Tapi isteri saya tak pernah lupa. Pagi-pagi dia bagi tahu kepada saya, Selamat Hari Jadi. Jadi saya pun selamat la, saya pun celebrate la.

“Kalau nak harapkan kepada saya, hari jadi saya pun saya tak ingat,” katanya.

Katanya sajian pulut kuning dan rendang daging juga menandakan hari istimewa tersebut.

Dalam temu bual singkat itu, Dr Mahathir turut berkata sebelum dikenali ramai kadang-kadang beliau akan membawa Dr Siti Hasmah untuk makan malam berdua, tetapi kini beliau tidak boleh lagi berbuat demikian.

Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri Malaysia keempat pada 1981 hingga 2003 juga ditanya mengenai perbezaan pentadbirannya dahulu dan kini.

“Banyak berbeza. Dulu saya mengambil alih kerajaan daripada parti saya sendiri dan tak banyak masalah. Jentera kerajaan berjalan dengan baik dan saya cuma memberi panduan sahaja.

“Kali ini seolah-olah saya terpaksa membentuk kerajaan baharu dan mencari pegawai-pegawai yang bersih untuk mengurus pentadbiran negara dan saya sendiri tak kenal mereka.

“Saya perlu dapatkan maklumat tentang diri mereka sama ada sesuai atau tidak untuk memimpin jentera kerajaan,” katanya. – Bernama