PALU, Indonesia, 8 Ogos – Seorang dukun di Indonesia telah ditahan selepas melakukan penculikan seorang remaja dan menjadikannya hamba seks selama 15 tahun mendakwa dia telah dirasuk teman lelaki khayalannya, menurut polis hari ini.
Wanita itu, yang kini berusia 28 tahun, ditemui oleh polis Ahad lalu di sebuah gua hutan berhampiran kampung Bajungan di wilayah Sulawesi Tengah.
Dia dilaporkan hilang oleh keluarganya pada tahun 2003, ketika berusia 13 tahun selepas dukun itu merawat penyakit mangsa. Ayah mangsa menghabiskan masa bertahun-tahun mencari anak perempuannya. Namun, polis berkata dukun itu, yang anaknya telah berkahwin dengan kakak kepada mangsa, telah memberitahu keluarganya bahawa mangsa telah pergi jauh dan tidak akan kembali.
“Setiap hari, selama bertahun-tahun, dukun itu melakukan perbuatan tidak senonoh dengannya di bawah sangkaan dia dirasuk oleh roh lelaki,” kata ketua polis tempatan Iqbal Alqudusy kepada AFP hari ini.
Dukun yang dikenali sebagai Jago, 83 telah menipu perempuan itu untuk mempercayainya bahawa seorang pemuda bernama ‘Amrin’ tinggal di dalam tubuh badannya, kata Alqudusy. Mangsa yakin ‘Amrin’ adalah teman lelakinya.
Jago dikatakan telah menyembunyikan wanita itu di dalam gua pada siang hari dan melakukan hubungan terkutuk dengannya di pondok berdekatan pada waktu malam. Polis berjaya menyelamatkan wanita itu setelah menerima maklumat daripada keluarga mangsa. – AFP