Cungkil bakat pembuatan tongkat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Dalam usaha memberi pendedahan seterusnya meningkatkan kemahiran dalam pembuatan tongkat, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Subok buat julung kalinya telah menganjurkan Pertandingan Tongkat, baru-baru ini.

Pertandingan yang menyasarkan penduduk Kampung Belimbing dan Kampung Subok itu berlangsung di Gerai Taman Tasik Sarubing, Kampung Belimbing di mana tiga kategori dipertandingkan iaitu Kategori Kayu Alami, Kategori Tongkat Kayu Kreatif dan Kategori Tongkat Buluh dan Rotan. Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis yang juga penghulu Mukim Kota Batu.

Antara objektif pertandingan adalah untuk mengetengahkan bakat seni anak-anak buah kampung di samping mengeratkan tali silaturahim, mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan antara penduduk kampung dan jawatankuasa MPK Belimbing dan Subok.

Dua orang belia yang menyertai pertandingan berkenaan, Awang Mohd Hairil Wandi Rosli, 20, dan Awang Abdul Rahman Jaafar, 19, menyatakan bahawa penyertaan mereka adalah untuk meningkatkan kemahiran diri dalam penghasilan tongkat.

Awang Mohd Hairil Wandi ketika ditemu bual menjelaskan, minat dalam menghasilkan pelbagai jenis tongkat bermula di rumah setelah melihat abang beliau membuat pelbagai jenis tongkat daripada beberapa jenis kayu.

Yang Berhormat Awang Naim menyaksikan tongkat yang dipertandingkan anjuran Majlis Perundingan Kampung Subok.
Awang Mohd Hairil Wandi dengan tongkat yang berjaya dihasilkan dan dipertandingkan.

Melihat usaha yang dilakukan oleh abangnya, beliau tidak melepaskan peluang untuk menceburi bidang membuat tongkat sehingga hari ini di mana sejak penglibatan dalam pembuatan tongkat setahun yang lalu, lebih 50 jenis tongkat telah dihasilkannya dan sebahaginya telah dijual.

Manakala itu, bagi Awang Abdul Rahman pula, minat dalam pembuatan tongkat bermula setelah melihat banyak yang mendaki bukit menggunakan tongkat dan setelah itu, timbul keinginan untuk membuat tongkat yang sesuai digunakan untuk mendaki bukit.

Di samping untuk mengekalkan warisan dalam pembuatan tongkat di kampung berkenaan, tambah beliau, ia sekali gus dapat menjana ekonomi di mana tongkat yang telah dihasilkan bukan saja dibeli oleh penduduk kampung, malahan dari kampung lain.

Sementara seorang lagi pembuat tongkat, Awang Sharanol pula menjelaskan, beliau terlibat dalam pembuatan tongkat sejak setahun yang lalu setelah merasakan warisan dalam pembuatan tongkat semakin kurang dilihat dan kebanyakan yang mengusahakan pembuatan tongkat terdiri daripada kalangan warga emas saja.

“Melihat kepada perkara ini dan ditakuti warisan dalam menghasilkan tongkat ini pupus, saya mencuba untuk menimba ilmu dalam pembuatan tongkat ini, walaupun pada peringkat permulaan ia amat mencabar,” ujarnya.