Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 7 April – Sekolah Panaga bersama Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) telah melancarkan Pertandingan Poster Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan yang dibukakan bagi penyertaan semua sekolah di negara ini.
Pertandingan tersebut dibukakan bagi penyertaan murid-murid berusia empat hingga 13 tahun, dianjurkan sebagai aktiviti tahunan yang antara lain turut bertujuan untuk mempromosikan kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya dan untuk membangunkan kemahiran mereka bentuk grafik dalam kalangan pelajar di negara ini.
Pertandingan dikendalikan oleh guru-guru di sekolah tersebut dengan tajaan BSP sebagai kesinambungan Sambutan Hari Keselamatan syarikat tersebut yang dijangka akan diadakan pada Mei 2017.
Para pemenang pertandingan tersebut akan menerima hadiah baucar bernilai $150 selain itu tiga pemenang lainnya dalam setiap kategori akan menerima hadiah bernilai $50.
Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu bagi murid-murid berusia empat hingga lapan tahun dan bagi murid berusia sembilan hingga 13 tahun, yang mana setiap peserta perlu mereka bentuk poster mempromosikan keselamatan jalan raya.
Guru Pembelajaran Digital Sekolah Panaga, Neil Lynch memberitahu, melalui tajaan BSP dalam pertandingan berkenaan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menggalakkan dan mencungkil bakat komunikasi pelajar-pelajar di negara ini.
Di samping itu, katanya lagi, bilangan penyertaan juga amat menggalakkan dan ia menunjukkan penglibatan dalam kalangan generasi muda terhadap kesedaran keselamatan jalan raya juga semakin positif.