Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Curi di lima masjid, lelaki dipenjara tiga tahun, sebat

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun enam bulan dengan dua sebatan kerana mencuri di beberapa buah masjid di seluruh negara.

    Hakim Mahkamah Perantaraan, Pengiran Masni bin Pengiran Haji Bahar semasa perbicaraan di sebuah mahkamah di Tutong, menjatuhkan hukuman penjara ke atas Muhammad Shahriman Rahman, 36, selepas dia mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan curi dari rumah ibadat.

    Hakim menjatuhkan hukuman itu berdasarkan garis panduan dan mengambil kira fakta bahawa kesalahan itu dilakukan di lima tempat berasingan, bagi pertimbangan dalam keputusannya.

    Walau bagaimanapun, mahkamah mengira hukuman itu sekali gus atas prinsip untuk mengelak ia menjadi berlebihan dan mencapai keputusan selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah serta rekod bersih tertuduh.

    Hakim menekankan faktor yang memburukkan lagi keadaan, dengan kes melibatkan lima buah masjid, barangan bernilai kepada masjid bagi fungsinya yang telah dicuri dan modus operandinya.

    Pendakwa Raya, Sabrina Haji Mahmud awal sebelumnya meminta hukuman pencegahan berdasarkan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh, yang mana tertuduh juga dibantu oleh pesubahat pada beberapa kecurian.

    Pendakwa raya mendedahkan kepada mahkamah bahawa tertuduh kali pertama mencuri di Masjid Kampung Keriam, Tutong pada 18 September 2020 dan memasuki bahagian sembahyang wanita dan mencuri termometer inframerah.

    Manakala pada 29 Mei 2021, tertuduh dan seorang rakan pergi ke Kampung Bukit Udal Tutong dan berhenti di masjid dan mencuri amplifier. Pada 9 dan 10 Februari tahun yang sama, tertuduh bersama rakannya turut mencuri mikrofon di Masjid Kampung Danau, Tutong.

    Di Masjid Kampung Menengah Tutong pada 28 Februari pula, tertuduh dan rakannya mencuri pembesar suara. Mereka kemudiannya menyasarkan Masjid Kampung Labi, Belait, pada 6 Mac dan mencuri vakum, pembersih udara, termometer berdiri dan wayar penyambung.

    Kejadian-kejadian curi itu dikesan oleh bilal-bilal masjid terbabit yang melaporkan kepada polis dan siasatan CCTV membawa kepada penangkapan tertuduh.

    Rakan tertuduh, Zaid Haji Edin, 51, sudah pun mengaku bersalah terhadap satu tuduhan namun menafikan pertuduhan lain.

    Mahkamah menangguhkan hukuman terhadapnya sehingga perbicaraan tertuduh selesai.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...