Curi: Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Dua orang lelaki telah dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, atas penglibatan mereka dalam mencuri sebuah kereta dan menukar plat nombor pendaftaran.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas Nordin bin Mat Taha, 43, manakala itu, Roslani bin Haji Mohd Yusof dihukum penjara lapan bulan. Kedua-dua mereka didakwa mencuri sebuah kereta di kawasan sebuah syarikat di Ban 3, Kampung Mulaut sekitar petang hingga awal pagi 19 dan 20 Januari 2020. Roslani menggunakan kereta tersebut selama beberapa hari sebelum ia rosak dan meninggalkannya.

Dia juga menukar plat nombor pendaftaran kereta tersebut sebelum meninggalkannya untuk mengelirukan pengenalpastiannya.

Pemilik kereta membuat laporan polis sebaik mendapati keretanya hilang dan membawa kepada penahanan kedua-dua defendan. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.