Curi flanges, penjara 11 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Seorang pekerja yang mencuri di syarikat tempatnya bekerja dijatuhi 11 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memutuskan hukuman itu terhadap Muhammad Khairusy Syakirin bin Haji Sirat, 29, yang mengaku bersalah mencuri 140 flanges milik syarikat tempatnya bekerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi pada 29 Julai 2019, tertuduh yang bekerja sebagai pengendali elektrik mencuri 50 flanges yang disimpan dalam kontena perkapalan di tapak kawasan Perindustrian Serasa.

Keesokan harinya sekitar jam 3 pagi, dia sekali lagi mencuri 90 flanges dalam kontena perkapalan milik syarikatnya. Perbuatan tertuduh dirakam CCTV.

Penyelianya yang telah melihat rakaman CCTV pada 31 Julai 2019 terus memanggil tertuduh, yang mana tertuduh mengakui kesalahannya.

Flanges yang dicuri dianggarkan bernilai AS$1,497.93 dan gagal ditemui semula.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah ‘Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh.