Curi harta kerajaan, tiga dipenjara, sebat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Tiga orang lelaki telah dijatuhi hukuman penjara serta sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, setelah mereka mengaku bersalah atas kesalahan mencuri harta benda kerajaan dan pertuduhan yang berkait dengannya.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu menjatuhi hukuman lapan bulan penjara dan dua kali sebatan terhadap Mohammad Alizul bin Ahmad, 37, dan Abdul Sadiy bin Muhammad Junaidi, 27.

Sementara itu, Junaidi bin Awang Damit pula dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Mu’izzah binti Haji Sabli memaklumkan mahkamah bahawa Mohammad Alizul dan Abdul Sadiy telah mencuri pagar gerbang di Jalan Subok dan menjualnya.

Ketiga-tiga tertuduh mencuri lapan pagar gerbang antara tengah hari hingga pukul 3 petang 10 Ogos berhampiran Simpang 67 di Kampung Subok.