Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong pada hari ini telah mengendalikan satu permohonan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas seorang perompak di Mahkamah Rayuan.
Ketua Hakim Negara, dibantu oleh Hakim Michael Peter Burrell dan Conrad Seagroatt, terkejut dengan rekod Norazmi bin Haji Tahir yang menunjukkan ‘kecenderungannya untuk mencuri’.
Mahkamah rayuan juga mengambil kira hakikat bahawa Norazmi telah menjadikan seorang kanak-kanak sebagai mangsanya.
Kejadian berlaku pada 4 Ogos 2019 ketika mana Norazmi menemui mangsa yang merupakan budak perempuan berusia satu tahun di sebuah kedai serbaneka dan meragut seutas rantai emas dari leher mangsa.
Dalam tergesa-gesa untuk melarikan diri, dia meninggalkan kesan calar pada pipi sebelah kiri mangsa.
Mangsa menangis dan jatuh ke lantai sementara Norazmi pergi ke bahagian lain kedai yang sama sambil melambung-lambungkan rantai emas itu di antara kedua tangannya dalam perjalanannya menuju ke arah juruwang.
Ibu bapa kanak-kanak tersebut yang berada berhampiran memujuk kanak-kanak berkenaan dan menyedari akan kehilangan rantai emas pada leher anaknya.
Ibu bapa mangsa sempat melihat rakaman CCTV kedai tersebut dan melihat perbuatan Norazmi.
Norazmi dijatuhi hukuman penjara 4 tahun 8 bulan dengan 12 kali sebatan pada awal tahun 2020 ketika dia masih berusia 49 tahun.
Mahkamah Rayuan mempertimbangkan keadaan kes ini secara keseluruhan dan memutuskan bahawa hukuman penjara dikekalkan untuk mencerminkan betapa seriusnya kesalahan yang dilakukan sementara mengetepikan hukuman sebat kerana Norazmi telah berusia 50 tahun pada Ogos tahun 2020 lalu.
Hadir selaku responden rayuan adalah Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman dan Atiyyah Abas.