KUCHING, 5 JUN – Seorang lelaki tempatan yang cedera dipercayai akibat terkena dua das tembakan ketika cuba melarikan diri menggunakan kenderaan yang dicuri, telah ditahan polis di Hospital Betong, semalam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam kenyataannya hari ini berkata suspek berusia 38 tahun itu, ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam semasa mendapat rawatan di hospital tersebut. Beliau berkata seorang wanita tempatan berusia 34 tahun, yang ada bersama lelaki yang cedera di lengan kanan dan bahagian pinggang sebelah kanannya itu, turut ditahan.
“Semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan mencuri kenderaan, satu rekod kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan satu rekod kesalahan cubaan membunuh orang,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Fortuner, yang dilaporkan kira-kira pukul 1:09 pagi pada 4 Mac di Pasar Baru Tatau, kira-kira 565km ke utara dari sini. – Bernama