Curi kereta, dua dipenjara 12 bulan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Dua orang lelaki telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin, atas tuduhan mencuri kenderaan dan bersubahat.

Dalam menjatuhi hukuman terhadap Shafwan Hafizul bin Abdullah Hindri, 20, dan Mohd Hafizdzul bin Abdul Rahman, 33, Pemangku Majistret Kanan Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof mengambil kira bahawa kedua-duanya mempunyai rekod sabitan yang jelas atas kesalahan terhadap harta benda dan harta yang dicuri telah dijumpai.

Walau bagaimanapun, mahkamah mengambil sikap tegas terhadap fakta bahawa kereta itu ditemui semula disebabkan siasatan polis dan perbuatan mereka telah berjaya dirakam menerusi kamera CCTV.

Jika tidak, mereka akan melarikan diri daripada jenayah yang mereka lakukan itu yang mana pencurian kenderaan dipandang serius oleh mahkamah kerana ia menyebabkan ketidakselesaan dan menyusahkan pemiliknya.

Kedua-dua tertuduh menaiki kereta ke tempat letak kereta di Tutong Central Mall pada jam 9 malam pada 27 Jun di mana mereka melihat sebuah kereta.

Mereka kemudiannya me-ninggalkan tempat kejadian dan kembali pada jam 4 pagi keesokan harinya dan meletakkan kereta mereka di sebelah kereta berkenaan.

Shafwan Hafizul kemudian turun dari kereta dan menuju ke kereta berkenaan lalu membuka pintunya dan kemudian butnya di mana dia mendapati ia tidak berkunci.

Shafwan Hafizul kemudian meminta Mohd Hafizdzul menukar bateri kereta mere-ka dengan kereta tersebut. Setelah berjaya menukar bateri, Shafwan Hafizul menghidupkan enjinnya dan memandu pergi. Mangsa menyedari keretanya hilang dan setelah melihat rakaman kamera CCTV yang dipasang di bangunan pusat beli-belah itu, mengesan perbuatan tertuduh.

Mangsa membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan tertuduh dengan dibantu oleh rakaman CCTV.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Firdaus Mohammad.