Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Dua lelaki yang mencuri sebuah kereta dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret.
Pengiran Samrulaspawi Nizam bin Pengiran Haji Ibrahim, 41, dan Raduan bin Japar, 33, mengaku bersalah mencuri kereta yang diletakkan di Jalan Roberts, di ibu negara pada 17 Disember 2017.
Tertuduh memandu kereta itu dan meninggalkannya di Kampung Sungai Kebun.
Keesokan harinya, mereka menggunakan kereta yang dicuri itu untuk mencari buah kelapa.
Tertuduh kemudian meninggalkan kereta itu di Kampung Sungai Asam.
Hasil dari maklumat orang ramai, polis menemukan semula kereta itu di Kampung Sungai Asam pada 26 Disember 2017 dan berjaya memberkas kedua-dua tertuduh pada 6 Januari 2018.
Pemilik kereta sebelum ini membuat laporan polis sebaik menyedari keretanya hilang.