Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman 15 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, semalam, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kereta.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammed Sofri bin Zaini/Jinen, 37, kerana mencuri kereta model Toyota Kijang di kawasan pembuangan sampah di Kampung Delima pada 27 Februari 2017.
Tertuduh yang tidak bekerja mencuri kereta tersebut selepas mendapati kereta itu tidak berkunci.
Dia menghidupkan enjin kereta itu menggunakan kunci kereta miliknya. Tertuduh memandu kereta curi itu dan meninggalkannya di Kampung Mentiri.
Fakta kes menyebut, tertuduh berada di kawasan Kampung Delima itu selepas kereta miliknya kehabisan minyak di kawasan Teguh Raya, Kampung Serusop dan bertindak untuk mencuri kereta Kijang yang diletakkan di kawasan pembuangan sampah itu.
Tertuduh bagaimanapun diberkas apabila pemilik kereta membuat laporan kepada polis.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Hajah Nor’Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin.