Curi kereta, lelaki dipenjara 11 bulan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun kerana mencuri, merosakkan dan menukar plat pendaftaran kereta bagi memperdaya nombor pendaftaran sebenar.

Fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud mendedahkan bahawa Mohammad Khairi bin Abdul Salam telah ditahan berikutan laporan berhubung kehilangan sebuah kereta yang diletakkan di kawasan letak kereta di sebuah kedai yang merupakan tempat kerja mangsa kira-kira pukul 8:30 pagi, 13 Ogos lalu.

Siasatan polis mendapati bahawa antara pukul 9 malam 12 Ogos sehingga pagi hari berikutnya, tertuduh telah berjalan kaki ke kedai berkenaan di mana dia melihat kereta tersebut dan dengan menggunakan sepasang gunting kecil yang dibawanya  dan disimpan dalam poketnya, dia membuka pintu kereta.

Setelah berjaya, tertuduh kemudian masuk dan dia menemui kunci-kunci di dalam kereta tersebut.

Tertuduh kemudian mencuba nasib, menggunakan salah satu kunci yang dijumpainya itu dan berjaya menghidupkan kereta tersebut sebelum memandu pergi dari tempat kejadian.

Sepanjang perjalanan, tertuduh telah mendapatkan dua plat pendaftaran kereta dengan nombor BW1534 dan menggunakannya untuk menyembunyikan nombor sebenar di bahagian depan dan belakang kereta.

Dia kemudian memandu pulang ke Kampung Pangkalan Batu, Jalan Mulaut-Limau Manis dan dalam perjalanannya itu, tertuduh telah melemparkan plat pendaftaran asal ke sungai.

Tertuduh telah ditangkap pada pukul 10 pagi, 17 Ogos di rumahnya dan polis turut menemukan kereta tersebut.

Siasatan polis mendapati bahawa tertuduh telah menyebabkan kerosakan pada kereta tersebut.

Majistret Mohd Marzuqi bin Sabtu semasa menjatuhkan hukuman menekankan bahawa pencurian kenderaan bermotor secara amnya akan menyebabkan pemiliknya tidak dapat menggunakan kereta mereka yang digunakan sebagai pengangkutan utama dan sudah pasti menimbulkan kesulitan kepadanya.

Atas pertuduhan pencurian dan melakukan kerosakan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan.

Majistret juga memerintahkan defendan untuk membayar denda $1,000 kerana menukar plat pendaftaran kenderaan, yang disahkan oleh defendan tidak dapat membayarnya dan akan menjalani masa tambahan pemenjaraan selama sebulan.