Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Mahkamah Perantaraan hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun lapan bulan serta dua kali sebatan ke atas Mohammad Nazri bin Mohd Nordin, 33, yang disabit bersalah mencuri dan membawa lari sebuah kereta dan memecah masuk ke rumah pada malam hari.
Pertuduhan ke atas tertuduh dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabrina binti Haji Mahmud di hadapan Hakim Harnita Zelda Skinneryang mengendalikan kes itu, mengatakan pada 9 September lalu, tertuduh membawa lari beg mengandungi wang berjumlah $900 dan sebuah telefon pintar yang dijumpainya di luar sebuah rumah.
Aksi mencuri Mohammad Nazri pada malam itu diteruskannya lagi pada 11 September apabila menceroboh masuk ke sebuah rumah teres yang kelihatan tidak berpenghuni di Kampung Katok dan melarikan bekas syiling, seutas jam tangan, sebuah komputer riba dan sebuah televisyen.
Namun ketika cuba membawa keluar semua barangan curinya, dia menyedari sebuah kenderaan menuju ke rumah itu dan dalam keadaan panik, melarikan diri meninggalkan barangan curi di kawasan berdekatan.
Dia kembali semula pada jam 3 pagi keesokan harinya untuk mengambil barangan curi dibuangnya, namun hanya menjumpai bekas wang syiling.
Pada 14 September jam 9 malam ketika memandu menggunakan kereta sewanya berhampiran sebuah kedai runcit di Kiulap, dia terserempak dengan sebuah kereta tanpa pengawasan lalu melarikan kereta tersebut.
Dia turut mencuri wang berjumlah $900 dari dalam tempat penyimpanan barang dalam kereta tersebut sebelum memberhentikan kereta dan mencampakkan kuncinya di kawasan lapang lalu meninggalkannya.
Kebanyakan wang tunai yang dicurinya adalah bagi tujuan pembelian barangan kegunaan peribadinya.