Curi: Lelaki Pakistan dipenjara

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Seorang lelaki warga Pakistan telah dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah mencuri barangan kedai, di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid ke atas Manzoor Ellahi, 52, yang bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai pembantu jualan.

Defendan telah mencuri 18 jenis barangan daripada hasil ladang sehingga kelengkapan dandanan di Gedung Perniagaan Hua Ho pada 2:53 malam, 4 Jun 2020.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli menyatakan bahawa defendan mengambil troli dan bergerak dari satu lorong ke lorong lain untuk mengambil barangan kemudian dengan mudah melewati juruwang, memasukkan barangan berkenaan ke dalam keretanya dan terus balik ke rumahnya di Ban 3, Kilanas.

Seorang kakitangan memaklumkan kelakuan meragukan defendan sebelumnya yang membuatkan mereka memeriksa rakaman CCTV dan segera membuat laporan polis apabila mendapati tindakan defendan.

Ini membawa kepada penahanan defendan oleh pihak polis.