Curi, lupus bukti, 2 dipenjara 7 bulan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 NOV – Dua lelaki dihukum tujuh bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan melakukan curi dan membantu melupuskan harta curi.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Sudirman bin Haji Damit setelah mendapatinya bersalah selepas perbicaraan atas tuduhan mencuri satu tayar kereta dan satu spoiler kereta di kawasan letak kereta Kampung Bolkiah A pada 15 Disember 2016 sekitar jam 1 pagi.

Tempoh hukuman sama juga dijatuhi ke atas Rusali bin Samit yang didapati bersalah kerana secara sukarela membantu melupuskan harta curi berupa satu tayar dan spoiler kereta, yang mana dia mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah barang curi.

Dia melakukan kesalahan itu di kawasan Kampung Lumapas antara 15 dan 16 Disember 2016.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nor ‘Adliatul Hidayah binti Haji Mohd Zaidi.