Curi: Penganggur dipenjara enam bulan

Oleh Sim.Y.H

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Seorang penganggur berusia 32 tahun telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, setelah mengaku bersalah atas dua kesalahan curi.

Mohammad Amirul Alif bin Ali didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah dan hukuman terhadapnya dijalankan di Penjara Maraburong bermula hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) di sini, hari ini, kes-kes berkenaan melibatkan kehilangan barangan seperti bateri kenderaan, bateri mudah alih, alat-alat perkakas sepana dan soket serta sangkar kayu bersama burungnya yang diletakkan dalam garaj kereta dan luar rumah dengan kedua-dua kejadian berlaku di Kampung Telisai Danau dan Kampung Telisai, Daerah Tutong.

Hasil siasatan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa telah membantu siasatan sehingga tertangkapnya suspek bagi kes-kes berkenaan.

Sehubungan itu, PDB mengalu-alukan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat awam dalam membantu pihak polis membasmi kegiatan jenayah di kawasan kampung setempat dengan menyalurkan maklumat yang membolehkan tindakan dibuat sewajarnya.

Oleh yang demikian, sesiapa yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang disarankan supaya melaporkannya di balai polis terdekat atau menghubungi talian kecemasan 993 serta berkongsi maklumat ke laman sesawang www.police.gov.bn dan Instagram @upa.ppdb

Antara barangan yang dicuri suspek. – Gambar serahan PPDB