Curtin Malaysia bakal rai 732 graduan, ulang tahun ke-20

MIRI, 23 April – Universiti Curtin, Malaysia (Curtin Malaysia) bakal melakar satu lagi sejarah pen-ting apabila ia akan mengadakan majlis pengijazahannya kepada 735 pelajar, bilangan graduan kohort tertinggi pada majlis yang akan diadakan Sabtu ini.

Kejayaan ini dilihat sangat penting seiring dengan ulang tahun ke-20 Curtin Malaysia bulan ini. Majlis pengijazahannya bagi graduan kohort pertama telah diadakan pada tahun 1999. Manakala majlis pengijazahan bagi graduan sarjana muda pula diadakan pada tahun 2002 bagi kumpulan pelajar dalam bidang perdagangan.

Pada tahun 2002 juga menyaksikan kelulusan kohort pertama pelajar MBA dan pembukaan rasmi kampus tetap di Senadin.

Sebelum itu, Curtin Malaysia telah beroperasi di kampus sementara di Riam Road di sini. Sementara itu, pada tahun 2003 pula menyaksikan majlis pelajar kejuruteraan pertamanya telah berjaya menamatkan pengajian.

Bilangan siswazah semakin meningkat setiap tahun sejak tahun lalu, dan tahun lepas, Curtin Malaysia telah menyaksikan pengijazahan kohort siswazah kedua terbesarnya iaitu sebanyak 682 pelajar.

Graduan tahun ini terdiri daripada 310 pelajar siswazah dan pascasiswazah dari Fakulti Perniagaan, 39 dari Fakulti Kemanusiaan, 380 dari Fakulti Kejuruteraan dan Sains dan enam dari kampus utama Curtin di Perth yang telah terpilih bagi menerima ijazah mereka di Malaysia.

Para siswazah akan menghadiri dua upacara iaitu upacara gabungan Fakulti Perniagaan dan Fakulti Kemanusiaan pada waktu pagi, dan upacara untuk Fakulti Kejuruteraan dan Sains pada waktu petang. Kedua-duanya akan diadakan di dewan acara yang memiliki kapasiti 1,500 di universiti berkenaan.

Majlis tersebut bakal menyaksikan kedatangan ahli keluarga graduan, para kenamaan termasuk Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski AM dan delegasi peringkat tertinggi dari Curtin Perth yang terdiri daripada Canselor Universiti Curtin, Dr. Andrew Crane, ahli-ahli majlis Universiti Curtin, Vanessa Guthrie dan Sue Wilson, Naib Canselor Profesor Deborah Terry, Timbalan Naib Canselor Antarabangsa Profesor Seth Kunin dan lain-lain.

Sementara itu dijangka hadir bagi mewakili Curtin Malaysia ialah Pro-Canselor Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, ahli Majlis Curtin Malaysia, Pengerusi Lembaga Pengarah Curtin Malaysia, Datu Ose Murang, Pengerusi Lembaga Pengurusan Curtin Malaysia, Datuk Lee Kim Shin dan Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif, Profesor Jim Mienczakowski.

Gambar fail graduan Curtin yang telah menamatkan pengajian. Pada Sabtu ini, seramai 735 graduah kohort Universiti Curtin akan menerima ijazah di kampusnya di Miri.