Curtin Malaysia ikuti Pertandingan APAC HPC-AI 2020

MIRI – Pasukan pelajar dari Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) adalah satu daripada dua pasukan yang mewakili Malaysia dalam pertandingan tahunan ketiga APAC HPC-AI (Asia Pacific High Performance Computing – Artificial Intelligence) yang berlangsung dari 20 Mei hingga 15 Oktober 2020.

Pertandingan APAC HPC-AI 2020, yang dianjurkan bersama oleh Advisory Council HPC-AI (HPCAIAC) dan Singapore National Supercomputing Centre (NSCC), mendorong pasukan antarabangsa di Asia Pasifik untuk menunjukkan penguasaan pengkom-puteran berprestasi tinggi (HPC) dan kepakaran kecerdasan buatan (AI) dalam persaingan yang mesra namun bersemangat yang membina kemahiran kritikal, hubungan profesional, semangat kompetitif dan rakan seumur hidup.

Pertandingan jarak jauh tahun ini menyaksikan sejumlah pasukan (30 keseluruhan) terdiri daripada pesaing sarjana dan siswazah dari beberapa institusi akademik terkemuka di Asia Pasifik. Negara dan wilayah yang diwakili adalah Malaysia, Australia, Bangladesh, Bhutan, China, Hong Kong, India, Singapura, Sri Lanka, Taiwan dan Thailand.

Pasukan Curtin Malaysia terdiri daripada lapan orang pelajar sarjana dan dua siswazah, iaitu pelajar kejuruteraan elektronik dan komunikasi tahun keempat (dan ketua pasukan) Tay Chuan Zhi; pelajar kejuruteraan elektrik dan elektronik tahun ketiga Saad Mahmud, John Julius Danker Khoo dan Solomon Haw Wei Wern; pelajar kejuruteraan elektrik dan elektronik tahun kedua Koh Say Kit, Gan Ting Yu, Sia Chun Wan dan Adelson Chee Lok Thien; dan pelajar PhD Jonathan Phang Then Sien dan Chiam Dar Hung.

Jurulatih pasukan ini adalah Profesor Madya Garenth Lim King Hann dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Komputer Curtin Malaysia.

Anggota pasukan Curtin Malaysia yang bertanding dalam APAC HPC-AI 2020. – Gambar serahan Curtin Malaysia

Menggabungkan cabaran klasik dan novel, pertandingan merangkumi senario ‘dunia nyata’ yang akan menguji pengetahuan dan kemahiran gabungan setiap pasukan dalam pemprosesan bahasa semula jadi (BERT) dan simulasi iklim (NEMO).

Sebagai sebahagian daripada pertandingan tahun ini, HPCAIAC dan NSCC telah bergabung dalam perjuangan global melawan COVID-19 dan telah memperluas persaingan untuk menangani pendidikan dan pembelajaran terapan untuk mempercepat penyelidikan dan penemuan biosains.

Pasukan yang mengambil bahagian akan ditugaskan untuk meneliti, mencari dan memilih aplikasi HPC atau AI yang berpotensi digunakan untuk membantu penyelidik merancang ubat-ubatan dan vaksin baharu untuk memerangi COVID-19

dan mempersiapkan mereka dengan lebih baik untuk memberikan penyelesaian kepada masalah global masa depan.

Senarai pasukan kompetitif telah dimuktamadkan oleh HPCAIAC pada 5 Jun lalu dan semua pasukan diminta untuk menghantar slaid persembahan dan kod mereka sebelum 15 Oktober 2020. Ulasan pembentangan

dijadualkan dari 26 Oktober hingga 6 November 2020 melalui persidangan video dan setiap pasukan akan mempunyai masa 30 minit untuk membentangkan dan 30 minit untuk soal jawab.