Curtin Malaysia perkenal kursus baharu

UNIVERSITI Curtin Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan Sarjana Muda Perdagangan dalam Pengurusan dan Pengurusan Sumber Manusia yang akan bermula Februari tahun depan.

Kursus yang direka khas bagi memenuhi cabaran dalam persekitaran global yang semakin berdaya saing ini melengkapkan pelajar dengan teori dan kemahiran praktikal untuk memasuki bidang kerjaya khususnya dalam pengurusan atau pengurusan sumber manusia di mana sahaja sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Kursus pengajian ini akan memberikan tumpuan kepada cabaran yang dihadapi oleh pengurusan, seperti hubungan antara orang ramai dan organisasi, prestasi, perubahan, inovasi dan teknologi.

Sementara itu, aspek pengurusan sumber manusia meliputi topik seperti pemilihan staf, promosi, pembelajaran dan pembangunan serta banyak lagi.

Pelajar juga akan mengetahui bagaimana untuk melibatkan diri dengan tenaga kerja yang komited dan berkebolehan dalam menjalankan operasi khususnya di sektor perniagaan global.

Pada dasarnya, kursus ini terdiri daripada lapan unit teras, tujuh daripadanya akan dipelajari pada tahun pertama pengajian seperti perakaunan, undang-undang perniagaan, ekonomi, sistem maklumat perniagaan, pengurusan, pemasaran dan komunikasi dalam perniagaan.

Kursus pengajian ini akan diakhiri dengan penempatan bekerja dengan menjalankan operasi syarikat di alam maya pada tahun terakhir.

Pada tahun kedua dan ketiga, pelajar boleh memilih untuk mengkhususkan pengajian sama ada satu ataupun dua jurusan. Pengajian ini akan diajarkan oleh ahli akademik yang berpengalaman khususnya dalam bidang ini.

Selain itu, pelajar juga berpeluang untuk melanjutkan pembelajaran atau menyambung pengajian mereka di kampus utama, Australia dan masih menjalani kursus yang masih sama seperti di Universiti Curtin Malaysia.

Fakulti Perniagaan Curtin Malaysia merupakan salah satu fakulti pendidikan perniagaan utama di rantau ini, menawarkan pelbagai kursus perniagaan yang menyeluruh dari Fakulti Perniagaan dan Undang-undang Curtin serta diiktiraf oleh Persatuan Berprestij Sekolah-sekolah Perniagaan (AACSB).

Kursus pengajian ini akan memberikan tumpuan kepada cabaran yang dihadapi oleh pengurusan, seperti hubungan antara orang ramai dan organisasi, prestasi, perubahan, inovasi dan teknologi.