MIRI, 27 Jun – Universiti Curtin Malaysia (Curtin) berbangga setelah disenaraikan di antara 20 universiti termuda di dunia dalam rangking ‘QS Top 50 Under 50’ edisi terkini.
Menurut kenyataan yang diterima hari ini, kedudukan tersebut yang menyenaraikan universiti terbaik di dunia di bawah usia 50 tahun penubuhan telah meletakkan Curtin berada di tangga ke-20, meningkat dua tangga berbanding tahun lepas.
Menurut Naib Pro Canselor Curtin, Profesor Jim Mienczakowski, selaku presiden dan eksekutif universiti itu, beliau berasa bangga Curtin terus berkembang sebagai sebuah universiti muda yang terkemuka di peringkat dunia.
Menurutnya, Curtin Malaysia adalah sebuah kampus antarabangsa yang terbesar dan menjadi sebuah hab global di Asia, berasa gembira untuk menjadi sebahagian universiti antarabangsa dengan beberapa buah kampus di Australia, Singapura, Dubai dan Mauritius.
Beliau menambahkan, kejayaan yang mengagumkan di peringkat antarabangsa itu muncul tatkala Curtin bersedia untuk menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-20 tahun depan.
Di Malaysia, universiti berkenaan secara berterusan berusaha untuk mengekalkan kedudukannya sebagai salah sebuah institusi tertinggi yang terbaik dengan pembaharuan penarafan Tier 5 (terbaik) dalam Sistem Penarafan Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) dan penarafan serupa bagi program kejuruteraannya berdasarkan disiplin dalam Sistem Peanarafan Disiplin Pengajian (D-SETARA) pada tahun 2017 dan menjadi satu-satunya universiti yang dinilai sebagai cemerlang bagi bidang kejuruteraan di timur Malaysia.