Cute remix tampil Nabila

Setakat ini, selepas hampir dua bulan muzik video lagu berjudul Cute (Stop Lah Being So Cute) yang dipopularkan penyanyi budak baru nak up (BBNU), Harith Zazman mula menarik perhatian dalam kalangan peminat muzik tanah air, sehingga mencatat lebih 8.5 juta tontonan.

Selepas berjaya mencuri tumpuan ramai daripada peminat muzik sehingga deretan selebriti tanah air termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cute (Stop Lah Being So Cute) kini dihasilkan dalam versi remix menampilkan penyanyi dan pelakon, Nabila Razali (gambar bawah).

Dihasilkan oleh Harith Zazman, MFMF dan LOCA B, Cute versi remix ini menampilkan perspektif daripada seorang wanita berbanding lagu asal.

Brendan Lim yang juga anggota MFMF serta memegang peranan sebagai penerbit Cute berkata, kehadiran Nabila dalam lagu ini menambah nilai kepada lagu ini.

“Kami amat berbesar hati kerana Nabila sudi terbabit dalam projek ini. Sebagai penyanyi dan pelakon yang berpengalaman, Nabila memberi nilai tambah kepada lagu ini.

“Bekerjasama dengan Nabila adalah suatu pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan,” katanya.

Lagu Cute (Stop Lah Being So Cute) nyanyian Harith bersama kumpulan MFMF dan rapper LOCA B berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila muzik video rasmi lagu terbabit berada pada kedudukan pertama carta sohor kini dalam YouTube dan menjana lebih 2.3 juta tontonan dalam tempoh seminggu. – Agensi