Monday, January 13, 2025
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Cuti’ menoreh getah demi buah kabung

    PARIT – Permintaan tinggi terhadap buah kabung terutama ketika Ramadan  menyebabkan  ramai penoreh  getah sanggup berehat seketika daripada menoreh  untuk  mendapatkan  buah tersebut.

    Walaupun proses untuk mendapatkan buah itu yang juga dikenali sebagai buah kanto atau kantau bagi masyarakat daerah Perak Tengah rumit, namun hasil yang bakal diperoleh sangat lumayan.

    Difahamkan harga jualan isi buah itu yang belum disira dengan air  gula  adalah  RM10  sekilogram, bergantung kepada pasaran semasa.

    Pasangan suami isteri Razuan Talib, 66, dan Rajamah Man, 54, dari Kampung Tua, Belanja Kiri di sini sanggup berehat seketika daripada menoreh getah sepanjang Ramadan  bagi  mencari dan memproses buah tersebut.

    “Saya mempunyai pembeli serta pemborong tetap dari kawasan lain yang akan menelefon bagi membeli buah ini apabila tiba bulan puasa,” kata Razuan yang berpengalaman mencari buah itu selama 20 tahun kepada Bernama baru-baru ini.

    Permintaan tinggi terhadap buah kabung terutama ketika Ramadan menyebabkan ramai penoreh getah sanggup berehat seketika daripada menoreh untuk mendapatkan buah tersebut. – Bernama
    Peniaga buah kabung Razuan Talib menunjukkan buah kabung yang perlu dikopek bagi mengeluarkan isi putih untuk diproses sebagai pemanis mulut. – Bernama
    Walaupun proses untuk mendapatkan buah itu yang juga dikenali sebagai buah kanto atau kantau bagi masyarakat daerah Perak Tengah rumit, namun hasil yang bakal diperoleh sangat lumayan. – Bernama

    Pulangan yang lumayan

    Menurut warga emas itu, permintaan isi buah kabung yang sudah diproses melonjak setiap kali Ramadan dengan purata kira-kira 15 kilogram setiap hari seterusnya memberi pulangan lumayan kepada keluarga.

    “Urusan jual beli buah ini rahsia. Hanya saya dan pembeli sahaja tahu berapa harga jualannya. Rehat sekejap daripada menoreh sebenarnya berbaloi kerana buah ini memang ada peminatnya terutama pada bulan puasa,” katanya.

    Mengulas lanjut, Razuan berkata mengambil buah kabung mempunyai teknik tersendiri dan buah yang dipilih perlulah buah yang muda.

    “Pokok kabung dan buahnya mempunyai sifat semula jadi menyebabkan rasa gatal dan miang, maka harus berhati-hati dan jika pokok itu terlalu tinggi kami gunakan ‘siga’ iaitu tangga yang diperbuat daripada buluh,” katanya.

    Beliau berkata selain merebus, satu lagi kaedah yang boleh digunakan  untuk  mengeluarkan isi buah kabung ialah dengan membakar tandan buah itu dalam api yang marak, namun ia mengambil masa lama.

    Sementara itu, seorang lagi pengusaha buah kabung, Affendi Abdullah, 52, juga dari Kampung Tua berkata perusahaan tradisi pemanis mulut itu akan lenyap ditelan zaman jika tiada pengganti daripada kalangan generasi muda.

    “Semakin kurang yang sanggup terlibat dalam pemprosesan buah berkenaan yang rumit walaupun ia dipercayai dapat merawat masalah darah tinggi selain boleh menyejukkan badan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda