Cuti tanpa gaji, kontrak ditamatkan bagi kakitangan awam enggan divaksinasi

SINGAPURA, 4 NOV – Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) Singapura mungkin akan mengenakan cuti tanpa gaji atau tidak memperbaharui kontrak apabila ia tamat, ke atas kakitangan awam di negara itu yang memilih untuk tidak divaksinasi walaupun layak daripada segi perubatan, sebagai jalan penyelesaian terakhir.

Langkah itu adalah susulan pengumuman pasukan khas pelbagai kementerian yang menangani COVID-19 bulan lalu, yang menetapkan hanya pekerja yang lengkap divaksinasi sepenuhnya atau mereka yang pulih daripada COVID-19 dalam tempoh 270 hari lalu dibenarkan kembali ke tempat kerja mulai tahun depan.

Jurucakap PSD ketika menjawab pertanyaan berhubung laporan pada 4 November di laman web Channel News Asia (CNA), memaklumkan bahawa mulai 1 Januari depan, pihaknya membenarkan penjawat awam yang tidak divaksin untuk bekerja dari rumah sekiranya keadaan sudah membenarkan kembali ke pejabat.

Penjawat awam itu mungkin diberikan tugas lain yang boleh dilakukan dari rumah jika pekerjaan sedemikian tersedia, dengan imbuhan ‘sepadan dengan tanggungjawab pekerjaan alternatif’, kata jurucakap itu lagi.

“Jika mereka memilih tidak divaksin walaupun layak secara perubatan, kita boleh meletakkan mereka bercuti tanpa gaji sebagai pilihan terakhir atau membenarkan kontrak itu tamat tanpa diperbaharui,” katanya.

Pendirian diambil oleh PSD yang mempunyai kira-kira 153,000 penjawat awam di 16 kementerian dan lebih daripada 50 badan berkanun selaras dengan langkah yang digariskan bulan lalu oleh Kementerian Tenaga Manusia mengenai vaksinasi COVID-19 di tempat kerja.

Pekeliling dikeluarkan kementerian itu pada Oktober bersama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura menyatakan pekerja tidak divaksin yang kerjanya boleh dijalan-kan di rumah, majikan boleh membenarkan mereka terus berbuat demikian, namun pengaturannya tertakluk kepada pertimbangan majikan. – ANN/The Straits Times

Mereka yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksinasi meskipun layak daripada segi perubatan, akan dikenakan cuti tanpa gaji atau ditamatkan kontrak sebagai jalan penyelesaian terakhir. – Gambar fail ST