Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Cyber Battle ke-8 kembali lagi

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Pertandingan penggodaman komputer utama Brunei Darussalam, Cyber Battle: Capture The Flag (CTF) akan kembali bagi siri ke-8 pada bulan ini.

    Pertandingan tersebut dianjurkan setiap tahun oleh firma keselamatan IT tempatan, ITPSS Sdn Bhd yang menawarkan penyertaan percuma kepada orang ramai.

    Cyber Battle mencabar pesaing untuk menyelesaikan teka-teki berdasarkan senario kehidupan sebenar dalam kategori seperti kriptografi, eksploitasi, forensik digital, analisis paket dan cabaran berasaskan web.

    Penggodam yang bercita-cita tinggi akan mendapati bahawa pertandingan CTF adalah salah satu cara paling menarik dan menyeronokkan untuk mendapatkan pengalaman praktikal dalam bidang keselamatan siber.

    Ia juga boleh memberi manfaat kepada profesional IT dengan menguji dan mempertajam kemahiran dalam penggodaman beretika.

    Permainan pertandingan tetap sama seperti tahun-tahun sebelumnya, di mana dalam pertandingan Capture The Flag ala Jeopardy, pasukan akan bertanding untuk menyelesaikan cabaran dan menyerahkan ‘bendera’ untuk memperoleh mata dalam had masa tertentu.

    Pendaftaran kini dibuka sehingga 15 September dengan hadiah wang tunai $3,500, $2,500 dan $1,500 ditawarkan untuk tiga pasukan teratas, selain hadiah bonus untuk pasukan yang melengkapkan setiap kategori.

    Pusingan kelayakan akan diadakan secara dalam talian hujung minggu ini untuk mengenal pasti 10 pasukan terbaik yang akan mara ke pusingan akhir. Pusingan akhir akan menjadi acara sehari penuh pada 30 September, di mana finalis akan menghadapi lawan mereka secara berdepan.

    Untuk melengkapkan pertandingan, ITPSS juga menganjurkan Talks at Cyber Battle, satu siri pembentangan awam oleh pakar keselamatan, bertujuan untuk memberi inspirasi kepada belia tempatan untuk melihat keselamatan siber sebagai pilihan kerjaya yang menarik. Ia terbuka kepada orang ramai dan kehadiran adalah percuma.

    Cyber Battle akan diadakan pada 30 September di Pusat Kesenian Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS). Untuk maklumat lanjut tentang acara dan pendaftaran, bolehlah melayari laman sesawang ITPSS.

    Ceramah mengenai Cyber Battle juga dianjurkan ITPSS dan dibukakan kepada orang ramai. – Gambar serahan ITPSS
    Gambar serahan ITPSS

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Iran ketatkan kawalan ke atas sekolah antarabangsa

    TEHRAN, 4 OKT - Ia merupakan permulaan penggal baharu di Iran tetapi tahun ini ia menyayat hati bagi pelajar di sekolah antarabangsa selepas keputusan...