Da nang, Vietnam dikenakan sekatan

HANOI, VIETNAM, 28 JULAI – Vietnam hari ini menyekat pergerakan di bandar ketiga terbesar selama dua minggu selepas 22 kes COVID-19 ditemui yang dikaitkan dengan sebuah hospital, menurut kerajaan.

Kes baharu di tengah bandar Da Nang itu adalah yang pertama mengesahkan jangkitan tempatan di negara itu dalam masa tiga bulan.

Pengangkutan awam keluar dan masuk ke Da Nang telah dibatalkan. Pada hujung minggu, ribuan pelancong terutamanya warga Vietnam telah memendekkan rancangan percutian mereka di destinasi pantai popular itu.

Kesan sekatan pergerakan telah menjejaskan industri pelancongan bandar itu, yang baru saja pulih selepas kes koronavirus sebelumnya berkurangan pada akhir April.

Pelanggan hotel segera menamatkan penginapan dan membatalkan lawatan akan datang sejurus berita kes pertama dimaklumkan, kata pengurus hotel.

“Hotel kami sekarang kosong. Namun kami terpaksa membantu tetamu kami meninggalkan bandar walaupun mereka masih ada peluang kelmarin,” katanya.

Pantai-pantai Da Nang, yang menerima hampir 50,000 pengunjung sehari, kini telah ditutup. Hanya kakitangan keselamatan dilihat berada di pantai itu hari ini ketika mereka menjalankan rondaan bagi memastikan tiada sesiapa pun di sana.

Pihak berkuasa menganggarkan ribuan orang terkandas disebabkan penghentian perkhidmatan pengangkutan dan meminta hotel-hotel menempatkan mereka.– AP

Lalu lintas sunyi berikutan arahan sekatan pergerakan di Da Nang, Vietnam pada 28 Julai. – AP