Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Darussalam Assets
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Darussalam Assets (DA) terus berusaha untuk mengguna pakai amalan-amalan terbaik global bagi menerajui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menjadi syarikat-syarikat bertaraf dunia termasuk memperbaiki sistem serta proses serata kumpulan berkenaan.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pemangku Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani dalam kapasitinya sebagai ahli Lembaga Pengarah DA.
Kumpulan Syarikat DA pada masa ini, mempunyai seramai 8,500 orang individu yang berkhidmat dalam portfolio syarikatnya.
Strategi pembangunan modal insan bagi menghasilkan warga kerja yang berpendidikan, berkemahiran tinggi serta berjaya itu, adalah selaras dengan salah satu matlamat Wawasan Brunei 2035, tambahnya semasa Pelancaran Program Darussalam Assets Prioritising Employees in Organisations to Promote Learning and Empowerment (DA PEOPLE), yang berlangsung di The Empire Brunei, kelmarin.
Program yang disertai oleh peserta daripada serata kumpulan syarikat berkenaan, merupakan sebuah inisiatif di bawah Peta Jalan Pembangunan dan Pembelajaran, Jabatan Pembangunan Modal Insan DA.
Ia bermatlamat untuk membangunkan Kumpulan Bakat Sumber Manusia (HR) yang kukuh di serata kumpulan berkenaan serta meningkatkan standard kemahiran, ilmu pengetahuan dan kepakaran profesional HR di serata Kumpulan Syarikat DA. Modul pertama bertajuk DA-CIPD HR Business Partnering, adalah kolaborasi antara DA dan Chartered Institute of Personnel and Development (CIPD) Asia, sebuah organisasi global yang mempunyai lebih 165,000 orang ahli di serata lebih 120 buah negara yang kerap menyumbang kepada penyelidikan dalam amalan HR.
Perisian modul berkenaan telah disusun untuk menyasarkan pemimpin-pemimpin HR dan bakal-bakal pengurus HR di mana ia mengandungi sesi pembelajaran dipermudahkan dan sesi bimbingan kumpulan. Program itu akan dikendalikan dalam tempoh 11 minggu di mana dua hari pertama dikendalikan secara fizikal dan lebihnya secara maya menerusi platform WebEx. Di hujung program 11 minggu itu, pembentangan projek akan dijadualkan bagi pihak-pihak berkepentingan utama.
Pengurus Pembangunan Modal Insan di DA, Awang Mohammad Salehin bin Haji Basir menerangkan bahawa profesional HR yang menyertai akan mengusahakan sebuah projek sebenar yang akan disampaikan kepada pihak-pihak berkepentingan yang relevan bagi pertimbangan pelaksanaan di tempat kerja masing-masing.
Ia dihasratkan untuk meningkatkan keupayaan pengamal HR berhubung minda perkongsian perniagaan serta peranan sebagai ejen strategik dalam sesebuah organisasi yang membolehkan mereka untuk menguasai kemahiran untuk memacu inisiatif-inisiatif modal insan yang menjana nilai perniagaan sebenar, ulasnya lagi.
Awang Mohammad Salehin menambah bahawa sepanjang Program DA PEOPLE, Jabatan Pembangunan Modal Insan DA akan menganjurkan modul-modul latihan dengan kerjasama CIPD bagi kursus-kursus pembangunan profesional berterusan berdasarkan kepada pembahagian 195 profesional HR dalam Kumpulan Bakat HR di serata Kumpulan DA.
Beliau menambah bahawa DA akan merapatkan jurang dengan CIPD bagi profesional-profesional HR untuk berusaha ke arah program-program bertauliah CIPD atau Persijilan Penting (Milestone Certifications).