SINGAPURA, 9 Nov – Pihak berkuasa Singapura merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih S$69,000 (kira-kira RM213,900) daripada seorang warga Malaysia ketika lelaki tersebut melalui pemeriksaan di Pusat Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) Woodlands pada Selasa.
Dalam satu kenyataan bersama ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB) hari ini, pihak berkuasa berkenaan berkata dalam kejadian 10.20 malam itu, pemeriksaan terhadap kereta bernombor pendaftaran Malaysia yang dipandu sendirian oleh suspek berusia 28 tahun tersebut menemukan empat bungkusan.
Bungkusan itu mengandungi 616 gram syabu, 29 gram ketamin, 590 biji erimin 5 dan 20 biji ekstasi, kata pihak berkuasa berkenaan.
Siasatan lanjut membawa kepada penangkapan dua lagi suspek, masing-masing lelaki warga Singapura berusia 28 dan 32 di Bedok North Street 1, pada awal pagi semalam. – Bernama