Dadah dalam sungai ancam spesies ikan

LONDON, 28 SEPT – Jumlah dadah yang tinggi telah ditemui dalam sebatang sungai yang mengalir menerusi tapak festival Glastonbury di Britain, justeru mengancam spesies ikan dan hidupan liar lain, kata ahli sains hari ini.

Tahap kokain dan MDMA, lebih dikenali sebagai ekstasi, dikesan dalam air dengan jumlah amat tinggi, kata pakar, sehingga ia boleh mengancam hidupan liar di Sungai Whitelake yang mengalir menerusi tapak festival. Sampel yang diambil dari sungai pada 2019, apabila lebih 200,000 orang membanjiri festival musim panas di Somerset, barat daya England, mendapati kepadatan MDMA adalah empat kali lebih tinggi seminggu selepas festival.

Jumlah tinggi kokain dalam air telah naik kepada tahap yang menjejas kitaran hidup ikan belut yang unik dan dilindungi yang ditemui di kawasan itu, menurut saintis.

Pakar menggesa pengunjung festival supaya menggunakan tandas Glastonbury pada masa depan kerana dipercayai dadah memasuki sumber air menerusi air kencing orang awam.

Dan Aberg, pelajar di Universiti Bangor di utara Wales yang mengumpul data, berkata semua festival muzik ‘tidak diragui menjadi sumber pengeluaran dadah tahunan.’ Christian Dunn, juga dari Universiti Bangor, berkata jumlah dadah yang dilepaskan ke dalam air berpotensi menjejas pemuliharaan ikan belut terancam. – AFP