Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Dadah di pusat pengasingan, 3 wanita dipenjara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Tiga wanita yang mengambil dadah jenis methylamphetamine di dalam tandas di Pusat Pengasingan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Temburong pada 12 September lalu telah dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini.

    Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman mengambil kira fakta bahawa Noorhadahyati binti Aji dan Siti Kamilah binti Mohammad adalah pesalah pertama dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan masing-masingnya.

    Disebabkan Noorhadahyati mengaku bersalah atas dua pertuduhan lain penggunaan dadah pada November 2019 dan Ogos 2020, dia kemudian diperintahkan untuk membayar denda sebanyak $3,000 atau menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar.

    Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Latiff mendedahkan bahawa wanita-wanita berkenaan diuji positif COVID-19 dan menjalani perintah kuarantin di pusat pengasingan tersebut.

    Pada pukul 8:30 malam hari itu, komandan tapak dari Tentera Udara Diraja Brunei menerima maklumat mengenai aktiviti berkaitan dadah di premis tersebut. Maklumat lanjut mengenal pasti Noorhadahyati sebagai suspek kemudian dilaporkan kepada Biro Kawalan Narkotik.

    Tiba di tempat kejadian, penyiasatan BKN mendapati Siti Kamilah dan Fatin juga terlibat dalam kesalahan tersebut. Sampel air kencing tertuduh diambil dan diuji positif bagi dadah kelas A.

    Penyiasatan lanjut menunjukkan bahawa Fatin telah meminjam tiub kaca daripada seorang rakan yang akan dikeluarkan dari pusat pengasingan berkenaan.

    Pihak pendakwaan menekankan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh tidak seperti kes penggunaan dadah lain yang sebelumnya didengar di mahkamah di mana denda dikenakan untuk pesalah pertama.

    Kesalahan itu dilakukan oleh pesakit yang didapati positif COVID-19 dan menjalani kuarantin di kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, jelas timbalan pendakwa raya yang selanjutnya menggesa mahkamah untuk mempertimbangkan bahawa dalam menangani tingkah laku
    tertuduh, fokus dan tenaga kerja para petugas barisan hadapan ini tidak perlu dialihkan daripada tanggungjawab utama mereka untuk menjaga kesihatan dan keperluan pesakit.

    Mahkamah juga dimaklumkan bahawa pusat pengasingan itu merawat 700 pesakit, dengan lebih 100 petugas barisan hadapan dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Kementerian Kesihatan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), ahli PKBN dan Persatuan Bulan Sabit Merah ditempatkan di sana.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda