Dadah: Dua lelaki ditahan

LAHAD DATU, 20 Feb – Polis menahan dua lelaki tempatan termasuk seorang penjawat awam serta merampas dadah jenis Syabu dalam satu serbuan di kuarters jabatan kerajaan di Jalan Segama di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata suspek berusia 52 dan 37 tahun itu ditahan pada 8.50 malam.

“Polis menemukan 6.25 gram syabu bernilai RM987 di dalam satu paket plastik cerah dan 15 gulung kertas timah di atas lantai sebuah bilik tidur di rumah itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nasri berkata suspek berusia 52 tahun yang juga penjawat awam itu didapati positif dadah jenis Amphetamine serta Methapethamine.

“Seorang lagi suspek merupakan pengedar dadah yang aktif sejak 2017 dan dikehendaki polis selain mempunyai rekod jenayah dadah di Lahad Datu,” katanya.

Beliau berkata  kedua-dua suspek itu kini direman dan akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 akta yang sama. – Bernama