Dadah: Empat lelaki UK diberkas

SYDNEY, 14 OGOS – Polis Australia hari ini berjaya mematahkan satu rangkaian utama dadah dikaitkan dengan sindiket antarabangsa, dengan empat lelaki warga Britain ditahan selepas rampasan sejumlah besar kuantiti serbuk MDMA dan ais.

Pemintasan ke atas 766kg MDMA di negeri Queensland merupakan rampasan ketiga di Australia, dengan Polis Persekutuan Australia menganggarkan nilai jalanannya AUD$90 juta (AS$61 juta) apabila ditukarkan kepada pil ekstasi. Manakala 200kg methamphetamine atau ais dirampas oleh polis di New Zealand sebagai sebahagian daripada operasi itu.

Dalam satu kenyataan, Polis Persekutuan Australia mengatakan dua lelaki Britain, berusia 51 dan 40 tahun, didakwa memiliki dadah dan membekalkannya manakala dua lagi lelaki Britian masing-masing berusia 60 dan 49 tahun, diberkas di New Zealand. Seorang lelaki Australia berusia 26 tahun juga diberkas.

Menurut Superintenden Detektif Jon Wacker dari skuad dadah polis Queensland, rampasan itu bakal menjejaskan pasaran ekstasi Australia. –AP

Gambar baru-baru ini diserahkan oleh polis Queensland menunjukkan seorang anggota polis mengendalikan sekitar 766kg MDMA dirampas di negeri Queensland, Australia. Empat orang warga UK diberkas berkaitan rangkaian dadah dan rampasan itu di Australia dan New Zealand hari ini, menurut polis. -AP