Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Dadah peruntuh masyarakat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Penyalahgunaan dan pengedaran dadah adalah dilarang dari segi syarak dan undang-undang negara kerana ia boleh mendatangkan kesan yang negatif dan memudaratkan.

    Antara kesan-kesan negatif dan kemudaratan penyalahgunaan dan pengedaran dadah itu, ia boleh menghancurkan rumah tangga, memporak-perandakan keluarga, memusnahkan kesejahteraan hidup bermasyarakat seterusnya membebankan negara dan mengancam keselamatannya.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini menegaskan, sekiranya penyalahgunaan dan pengedaran dadah tidak dibendung dengan segera, masalah ini akan mengakibatkan kehancuran umat dan negara.

    Kesan kerosakan kepada sesebuah negara akibat penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah haram itu adalah sangat besar, tegasnya lagi, dan antara kesannya adalah negara menanggung kos yang tinggi untuk mengurus aspek pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan.

    “Jumlah dan kos tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan membangun dan mencapai wawasan negara supaya negara dapat berdiri dengan negara maju yang lain.

    “Tapi malangnya negara akan terus berdepan dan terpaksa digunakan sumber berguna semata-mata untuk membanteras jenayah ini dan memulihkan segelintir pihak yang masih tidak sedar akan tanggungjawab kepada diri sendiri atau tanggungjawab mereka terhadap negara,” tegas khatib.

    Dalam mencegah dan membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini, antara agensi kerajaan yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan ialah Biro Kawalan Narkotik (BKN).

    Tanggungjawab utama BKN adalah untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaan jenayah dadah di negara ini.

    Usaha-usaha BKN dalam menguatkuasakan undang-undang ini akan lebih berkesan dan hanya berjaya mencapai tujuan dan maksudnya sekiranya mendapat sokongan padu daripada lapisan masyarakat kerana masalah dadah itu boleh meruntuhkan usaha pembinaan masyarakat gemilang sekali gus mengancam masa depan negara.

    Khatib seterusnya menjelaskan, adalah penting supaya masyarakat berganding bahu dan membantu BKN menjaga dan membanteras kegiatan sindiket pengedaran dadah yang berlaku dalam negara termasuk sikap mengambil peduli akan aktiviti anak-anak dan keluarga yang boleh menjaga mereka daripada terjebak gejala berisiko ini. Pengisian khutbah adalah sempena memperingati Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran dadah haram yang disambut pada 26 Jun 2022 dan sesuai dengan tema tahun ini iaitu ‘Cegah Bersama, Negara Bahagia’.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...