Dadah: Warga Perancis dihukum mati

MATARAM, Indonesia, 20 Mei – Sebuah mahkamah Indonesia, hari ini, telah menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki Perancis, Felix Dorfin atas kesalahan menyeludup dadah, dalam perbicaraan yang mengejutkan selepas para pendakwa mengusulkan hukuman penjara selama 20 tahun.

Dorfin, 35, telah ditangkap pada September selepas didapati membawa beg pakaian berisi kira-kira tiga kilogram (6.6 paun) dadah termasuk ekstasi dan amfetamina di lapangan terbang di Lombok, sebuah pulau percutian berdekatan Bali tempat warga asing sering ditangkap atas dakwaan dadah.

Indonesia mempunyai undang-undang dadah paling ketat di dunia – termasuk hukuman mati menggunakan skuad penembak bagi beberapa penyeludup dadah dan ia juga pernah menghukum mati warga asing pada masa lalu.

Ketika para pendakwa tidak mencadangkan bagi hukuman mati, mahkamah Indonesia telah menjatuhkan hukuman yang melangkaui permintaan mereka.

“Selepas mendapati Felix Dorfin secara sah dan mengaku bersalah mengimport narkotik…(dia) dijatuhkan hukuman mati,” kata hakim Isnurul Syamsul Arif memberitahu mahkamah.

Felix Dorfin (kiri) tiba di mahkamah di Mataram di pulau Lombok pada 20 Mei. – AFP

Hakim memetik penglibatan Dorfin dalam sindiket dadah antarabangsa dan jumlah dadah yang dimilikinya sebagai faktor-faktor yang memburukkan lagi.

“Tindakan defendan boleh berpotensi merosakkan generasi muda,” tambah Arif.

Lelaki Perancis itu menjadi tajuk berita pada Januari lalu apabila dia melarikan diri dari pusat tahanan polis dan hampir dua minggu dia diburu sebelum ditangkap.

Seorang pegawai polis wanita turut ditangkap kerana dipercayai membantu Dorfin melarikan diri dari penjara dan diberi imbalan wang.

Dorfin, yang berasal dari Bethune di utara Perancis, duduk tenang sepanjang perbicaraan di hadapan tiga hakim ketika penterjemah menulis nota di sampingnya.

Dia hanya bercakap ringkas ketika berjalan melintas para wartawan menuju ke sel tahanan selepas perbicaraan tersebut.

“Dorfin terkejut,” kata peguam lelaki Perancis itu, Deny Nur Indra memberitahu AFP.

“Dia tidak menyangka perkara ini kerana para pendakwa hanya meminta hukuman penjara 20 tahun.”

Peguam berkata dia akan merayu hukuman tersebut, menyifatkan kliennya sebagai ‘mangsa’ yang tidak tahu kandungan sebenar apa yang dibawanya.

“Jika dia tahu, dia tidak akan membawanya ke sini,” tambah Indra. – AFP