Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 28 OKT – Empat calon akan bersaing dalam tiga sesi undian dan pemilihan berasingan bagi jawatan penghulu mukim dan ketua kampung di Daerah Belait pada bulan November ini, menurut Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, dalam satu sidang media baru-baru ini.
Sesi pengundian pertama adalah untuk jawatan Penghulu Mukim Sukang dengan calon tunggal ialah Awang Shahronizam bin Haji Mohamad Noh.
“Pengundian akan dimulakan melalui aplikasi e-Undi PMKK dari 8 hingga 10 November dan pengundian fizikal dijadualkan pada 10 November di Dewan Serba guna Mukim Bukit Sawat di Kampung Sungai Mau,” katanya.
Sementara itu, sesi pengundian bagi jawatan Ketua Kampung Mumong A, dengan calon tunggal Awang Aminur bin Othman, bermula dari 15 hingga 17 November melalui aplikasi e-Undi PMKK dan pengundian fizikal dijadualkan pada 17 November di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan.
Manakala itu, bagi jawatan Ketua Kampung Pandan C, dua calon iaitu Awang Abdul Fa’iz Ariffin bin Haji Awang Mohamad dan Awang Muhammad Nurfaisal bin Ismail akan bertanding. Undian secara atas talian akan bermula dari 29 November hingga 1 Disember dengan undian fizikal diadakan pada 1 Disember di Dewan Serba guna, Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.
Selain itu, Haji Amirol Hafidzin juga turut menggesa penduduk mukim dan kampung berkenaan untuk melaksanakan hak mereka sebagai penduduk dengan mengundi pada tarikh yang ditetapkan, bagi memastikan calon yang dipilih adalah wakil yang berwibawa dan mampu memimpin mukim serta kampung mereka dengan berkesan.