Daerah Belait dilanda banjir kilat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Hujan lebat yang turun pada lewat malam dan awal pagi telah menyebabkan beberapa buah kawasan rendah di sekitar kawasan Kampung Lumut, Kampung Sungai Liang dan pedalaman Belait terjejas akibat kejadian banjir kilat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, Cawangan Operasi B Daerah Belait, JBP telah membuat pemantauan semasa berlakunya hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di mana ia melibatkan dua buah mukim yang telah dikenal pasti berlakunya banjir iaitu Mukim Liang dan Mukim Bukit Sawat.

Semasa pemantauan yang dijalankan di kawasan Mukim Liang, Kampung Sungai Kuru, Lumut I, beberapa buah rumah didapati telah dinaiki air dengan ketinggian 1.0 meter. Manakala itu, di kawasan Mukim Bukit Sawat, Jalan Laid Lakang telah dinaiki air dengan ketinggian 0.40 meter.

Ketua Kampung Lumut I, Awang Taib bin Haji Salleh berkata bahawa banjir kilat yang menjejaskan kawasan di Lumut sebahagian besar dirasai pada waktu awal pagi tetapi air banjir mula surut pada tengah hari.

JBP dalam kenyataan itu lagi, menyatakan bahawa setakat ini, bermula dari Januari 2021 hingga September 2021, jabatan berkenaan telah menerima sebanyak 486 panggilan kecemasan akibat bencana angin kencang dan banjir kilat di seluruh negara.

Selain daripada itu, antara insiden yang dihadiri oleh anggota bomba dan penyelamat adalah insiden pokok tumbang, insiden tanah susur, insiden atap terbang dan menimba air.

JBP dalam kenyataannya lagi menyarankan kepada orang ramai supaya memastikan pintu rumah dan jendela dalam keadaan tertutup jika mereka tidak berada di dalam rumah bagi mengelakkan binatang-binatang liar seperti biawak, ular dan buaya memasuki rumah mereka serta memastikan dan menjaga keselamatan kanak-kanak supaya tidak bermain dengan air tekungan atau longkang akibat banjir kerana ia boleh mendatangkan penyakit.

Kenyataan turut menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Beberapa buah kawasan di Mukim Liang dan Mukim Bukit Sawat di Daerah Belait yang terjejas oleh kejadian banjir kilat, kelmarin. – Gambar serahan JBP