Oleh Hajah Saemah Kepli
Gambar oleh Hajah Saemah Kepli & Azrol Azmi
KUALA BELAIT – Acara yang setiap tahun dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk di setiap daerah, Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menceriakan suasana Pekan Belait yang selalunya sepi, sejak kira-kira pukul 6:30 pagi orang ramai berpusu-pusu berjalan menuju ke Padang Bandaran Jalan Sultan di mana berlangsungnya acara besar yang dinanti-nantikan mereka semua.
Daerah Belait merupakan daerah ketiga menjadi tuan rumah bagi acara keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Belait yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Rakyat berbilang bangsa di daerah ini melahirkan rasa syukur dan gembira bagi menantikan keberangkatan Baginda, dan acara tersebut semestinya menjadi detik ristaan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk.