Daerah China dikenakan perintah berkurung bimbang gelombang kedua

BEIJING, 2 APRIL – Sebuah daerah di China yang mempunyai 600,000 penduduk telah dikenakan perintah berkurung selepas seorang wanita yang mengunjungi kawasan itu diuji positif koronavirus, mencetuskan kebimbangan berhubung gelombang kedua jangkitan domestik.

Langkah ketat itu muncul ketika China melaporkan 35 kes baharu hari ini, menurun secara drastik dari kemuncak krisis.

Namun ia semuanya diimport, membawa jumlah kes itu kepada 841 dan menambah kebimbangan tentang jangkitan yang dibawa masuk dari negara luar.

Daerah Jia di tengah wilayah Henan berkata dalam pos media sosial kelmarin bahawa ia mengetatkan penyekatan ke atas kampung-kampung dan kawasan kediaman, dan tidak membenarkan orang untuk masuk atau keluar dari rumah mereka tanpa kebenaran relevan.

Kakitangan juga akan memerlukan permit yang dikeluarkan oleh syarikat mereka untuk pergi bekerja dan kenderaan hanya boleh digunakan berselang seli bergantung pada plat nombor mereka.

Peraturan baharu itu diperkenalkan selepas seorang wanita yang mengunjungi daerah Jia diuji positif virus terbabit berikutan interaksi bersama doktor asimptomatik semasa pertemuannya. – AFP

Seorang wanita (kanan) membeli pisang dari penjual di sebalik sekatan yang memisahkan halaman kediaman di Wuhan, wilayah Hubei tengah China pada 2 April. – AFP