BEIJING, 28 OKT – Bandar terbesar China, Shanghai hari ini mengarahkan saringan COVID besar-besaran ke atas 1.3 juta penduduknya di bandar Yangpu dan melaksanakan perintah berkurung sekurang-kurangnya sehingga keputusan saringan diketahui.
Perintah itu adalah serupa dengan langkah-langkah diambil pada musim panas yang membawa kepada dua bulan perintah berkurung ke atas keseluruhan bandar berpenduduk 25 juta orang itu. Langkah-langkah itu seterusnya menyaksikan ekonominya merudum, kekurangan bekalan makanan dan konfrontasi.
China tidak menunjukkan tanda-tanda mengendurkan dasar ketatnya, Sifar COVID sejak awal COVID lagi. Langkah-langkah tegas telah dilaksanakan di seluruh negara, dari Shanghai ke timur Tibet sehingga ke barat jauh.
China hari ini melaporkan 1,337 kes baharu – kebanyakannya tidak bergejala – dan tiada kematian baharu. Shanghai sahaja melaporkan 11 kes tidak bergejala dan Tibet mengesahkan satu kes dengan simptom dan lima kes tidak bergejala.
Dalam tanda ia akan tetap mengekalkan langkah-langkah ketat dalam jangka masa panjang, Shanghai merancang membina pusat kuarantin tetap di sebuah pulau di Huangpu River yang memisahkan hab kewangan, menurut majalah perniagaan, Caixin.
Projek bernilai AS$221 juta di Pulau Fuxing akan meluaskan lagi kemudahan sedia ada bagi menempatkan 3,008 bilik pengasingan dan 3,250 katil, dengan pembinaan dijangka selesai dalam enam bulan, kata Caixin. – AP