Daerah Tutong jadi tumpuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Daerah Tutong merupakan salah satu tapak kegiatan yang dipilih semasa Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN pada Disember nanti dan sehubungan dengan itu, rombongan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Program Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN Kali Pertama telah mengadakan lawatan tinjauan ke Daerah Tutong, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, lawatan tinjauan itu adalah bertujuan untuk mengenal pasti kawasan serta kegiatan yang bakal dijalankan di Daerah Tutong pada 12 hingga 17 Disember nanti.

Mengetuai rombongan ahli-ahli jawatankuasa kerja berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, telah meninjau kawasan Taman Warisan ASEAN Tasek Merimbun dan Mukim Lamunin sebagai tempat kegiatan perhimpunan itu di peringkat Daerah Tutong.

Rombongan itu turut membuat kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain untuk memberi taklimat kegiatan serta bantuan kerjasama yang bakal dijalankan di Daerah Tutong yang berlangsung di Bangunan Jabatan Daerah Tutong yang juga selaku pengerusi bersama Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali pertama di peringkat Daerah Tutong.

Awang Shamsul Bahrin bergambar ramai bersama ahli-ahli Jawatankuasa Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali pertama semasa kunjungan hormat yang berlangsung di Bangunan Jabatan Daerah Tutong, baru-baru ini.

Turut hadir dalam perjumpaan bersama Pegawai Daerah Tutong ialah Yang Dipertua PPNBD, Haji Matussin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba bersama pegawai tertinggi PPNDB.

PPNDB telah dipilih secara sebulat suara secara undian untuk menjadi tuan rumah kepada program Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali pertama semasa Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Serantau Pengakap ASEAN kali ke-8 (ASARC) yang telah berlangsung di Tagum City, Davao, Filipina pada 27 November 2017 lalu.

Perhimpunan Pengakap Kelana ASEAN kali pertama pada Disember nanti, bakal menghimpunkan seramai lebih 400 orang ahli Pengakap Kelana dari kalangan negara-negara ASEAN dan juga beberapa buah negara dari rantau Asia Pasifik yang berusia di antara 18 hingga 26 tahun.